Syaitan Akan Sentiasa Mengajak Umat Islam Melakukan Kemungkaran. Kongsikan 7 Tipudaya Syaitan Ke Atas Umat Islam. No. 5 Ramai Yang Ikut..

Kaedah ini lazimnya digunakan terhadap orang yang lemah penghayatan agamanya atau yang mengabaikan agamanya. Syaitan secara terus akan mengajaknya kepada kemungkaran yang jelas lagi diketahui ramai seperti minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan kaedah syaitan yang pertama ini:

Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]

Kaedah Kedua: Gangguan Secara Tipu Daya.

Kaedah ini lazim ditujukan kepada orang yang memiliki penghayatan agama atau berminat untuk meningkatkan penghayatan agamanya. Bagi orang seperti ini, kaedah gangguan secara terus jarang digunakan kerana mereka sudah mengetahui keharaman arak, judi dan zina. Maka syaitan menggunakan kaedah tipu daya, iaitu menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menipu manusia sehingga akhirnya tercapai objektifnya. Tipu daya ini sukar untuk dikesan, bahkan orang yang mengalaminya merasai bahawa dia sedang berada di atas hidayah dan kebenaran.

Insya-Allah dalam Bab Keempat ini saya akan menyenaraikan tipu daya-tipu daya yang dimaksudkan, diikuti dengan beberapa contoh bagaimana syaitan menjalankan setiap dari tipu daya tersebut. Perkara penting yang perlu diingatkan di sini ialah cara syaitan menjalankan tipu dayanya tidak terhad kepada contoh yang saya beri. Para pembaca sekalian hendaklah bijak mengkaji dan menganalisa untuk mengetahui cara-cara lain syaitan menggunakan sesuatu tipu dayanya.

Tipu Daya  1: Menakutkan Umat Islam.

Tipu daya yang pertama ini dapat kita pelajari dari ayat berikut:

Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan tipu daya syaitan yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berhadapan dengan musuh dalam Perang Uhud. Lalu Allah mengingatkan umat Islam agar tidak takut kepada musuh, sebaliknya takutlah kepada-Nya.
Pengajaran penting dari ayat ini ialah tipu daya syaitan untuk meresapkan perasaan takut ke dalam hati dan fikiran manusia. Perasaan takut ini tidak terhad kepada menghadapi musuh dalam peperangan, tetapi meluas kepada pelbagai urusan lain.

Tipu Daya  2: Memperindahkan Perkara Mungkar.

Apabila syaitan diusir dari langit, ia berjanji:
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr 15:39]

Tipu daya ini telah dilaksanakan oleh syaitan kepada setiap generasi umat manusia dari awal:

Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu syaitan memperindahkan pada (pandangan) mereka akan amal-amal mereka (yang sebenarnya mungkar); maka Dia-lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini (Hari Kiamat) dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[al-Nahl 16:63]

Maksud memper-indahkan perkara mungkar ialah memberi pengaruh palsu kepada umat Islam bahawa apa yang sedang mereka lakukan adalah amal shalih yang baik lagi sesuai dengan Islam. Akan tetapi yang benar apa yang sedang dilakukan itu adalah amal mungkar yang buruk lagi bertentangan dengan Islam. Amatlah mudah bagi syaitan untuk memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar kerana sejak awal ia telah berjaya menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu (Tipu Daya # 1). Tanpa ilmu, umat Islam tidak dapat mengukur baik atau buruk sesuatu perkara berdasarkan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Terdapat beberapa cara syaitan memperindahkan perkara mungkar. Antaranya ialah dengan memberi nama-nama yang indah kepada sesuatu yang sebenarnya haram. Ini dapat kita pelajari dari pengalaman Nabi Adam ‘alaihi salam. Ketika Adam berada dalam syurga, Allah Subhanahu wa Ta’ala berpesan kepadanya, bahawa dia boleh memakan apa jua yang dia sukai kecuali satu jenis pohon (pokok):

Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pohon ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah 2:35]

Syaitan ingin mengeluarkan Adam dari syurga. Bagaimana caranya? Ahaa! Tukar nama pohon yang “dilarang” kepada nama yang lebih indah, seperti pohon yang “memberi kehidupan dan kekuasaan yang kekal abadi”. Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan tipu daya syaitan ini:

Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
[Ta-Ha 20:120]

Tipu Daya  3: Mempelbagai Jalan Kebenaran.

Di samping berjanji untuk memperindahkan perkara mungkar, syaitan juga berjanji untuk menghalang umat Islam dari jalan Allah (Shirat al-Mustaqim). Seterusnya ia akan membuat banyak jalan yang lain dan memperindahkannya sehingga umat Islam menganggap jalan-jalan tersebut adalah Shirat al-Mustaqim padahal ia bukan. Allah Subhanahu wa Ta’ala merakam perjanjian syaitan ini:

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat al-Mustaqim). Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
[al-A’raaf 7:16-17]

Perjanjian, atau lebih tepat, tipu daya syaitan ini benar-benar telah dilaksanakannya sejak dari zaman awal Islam sehinggalah pada masa kini. Syaitan menghalang umat Islam dari jalan Allah yang tulen lagi benar. Kemudian ia membuat banyak jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan menyebut bahawa ia akan datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat arah ini bukan bererti empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang dibukakannya. Ini umpama seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku dari hadapan, belakang, kanan dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti ada empat orang musuh, tetapi bererti ada banyak musuh yang datang dari semua sudut.

Tipu daya  3 ini dilaksanakan syaitan bersama tipu daya  1 dan 2. Pertama sekali, syaitan menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu. Tanpa ilmu, umat Islam tidak tahu yang benar Shirat al-Mustaqim dan yang mana tidak. Kemudian syaitan membuka beberapa jalan yang baru. Walaubagaimana pun syaitan tahu bahawa jalan yang baru tidak cukup untuk menarik umat Islam kepadanya. Perlu diletak sesuatu umpan di atasnya. Maka syaitan mengambil satu atau dua ajaran yang berasal dari Shirat al-Mustaqim dan meletakkannya di atas jalan baru tersebut sebagai umpan.

Tipu Daya  4: Janji Dan Angan-Angan Kosong.

Allah Subhanahu wa Ta’ala membongkar tipu daya syaitan yang keempat ini dalam firman-Nya:
Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
[al-Nisa’ 4:120]

Tipu daya janji dan angan-angan kosong juga ditabur ke atas individu. Antaranya:
1. Bagi orang yang banyak berbuat maksiat, syaitan menabur angan-angan agar tidak perlu bertaubat serta merta, sebaliknya tunggulah dulu hingga apabila mencapai umur persaraan.
2. Bagi orang yang sedang menuntut ilmu, syaitan menabur angan-angan bahawa apabila dia mencapai kelulusan PhD., maka dia telah mencapai kemuncak ilmunya.

  1. Bagi orang yang bersolat lima kali sehari, syaitan menabur janji bahawa amalan itu sudah mencukupi, tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang lain.
    4. Bagi orang yang ingin membanteras bid‘ah, syaitan menabur janji bahawa jika dia bersikap keras, nescaya semua bid‘ah akan berjaya dihapuskan.
    5. Bagi orang yang ingin menegakkan sunnah, syaitan menabur janji bahawa jika dia bergerak pantas, sunnah akan dapat ditegakkan dengan sekelip mata.

Tipu Daya  5: Mengubah Ciptaan Allah.

Tipu daya kelima ini dinyatakan sendiri oleh syaitan:
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”
[al-Nisa’ 4:119]

Dalam kenyataan di atas, syaitan berjanji akan melakukan beberapa perkara kepada umat Islam, iaitu:

  1. Menyesatkan umat Islam dari jalan Allah. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya 3.
    2. Menabur angan-angan kosong. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya 4.
  2. Membelah telinga binatang. Ini adalah amalan masyarakat jahiliyah dimana mereka membelah telinga binatang sebagai tanda binatang tersebut adalah istimewa dan dapat dijadikan sembahan atau korban kepada tuhan berhala mereka.
    4. Mengubah ciptaan Allah. Perkara keempat inilah yang menjadi tumpuan kita.

Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan Islam, apakah yang dimaksudkan dengan “mengubah ciptaan Allah”. Di antara mereka ada yang berkata, ia adalah mengubah anggota badan seperti mencacatkannya atau menokok tambah kecantikan.

Tipu Daya  6: Menjadi Jurucakap Allah.

Dalam ayat 169 surah al-Baqarah, Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan:
Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:169]

Apakah yang dimaksudkan dengan “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui”? Mudahnya, ia seumpama menjadi jurucakap Allah. Syaitan akan menghasut seseorang itu untuk menjadi jurucakap Allah (spokesman anad spokeswomen for god), iaitu bercakap tentang Allah dan Islam tanpa ilmu pengetahuan. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui” merujuk kepada orang-orang jahiliyah dan kafir musyrik yang mendakwa Allah memiliki anak, malaikat ialah anak perempuan Allah dan berhala-berhala mereka ialah wakil Allah di muka bumi. Maha Suci Allah dari semua dakwaan itu.

Tipu Daya  7: Memberi Nasihat.

Tipu daya syaitan yang ketujuh adalah sesuatu yang tidak kita sangka-sangkakan. Memang, enam tipu daya yang pertama juga tidak kita sangkakan. Akan tetapi yang ketujuh ini melebihi enam yang pertama. Tipu daya syaitan yang ketujuh ialah, ia berpura-pura memberi nasihat kepada kita. Ia berbisik atau bercakap melalui lisan orang yang kita percayai sehingga kita yakin itu adalah nasihat yang jujur dari hati ke hati. Akan tetapi di sebalik nasihat tersebut, syaitan hanya ingin menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan kita ahli neraka.

Tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan:
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:21]

Satu contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya ini ialah seperti berikut:
(Allah berfirman) “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.”

Setelah itu maka syaitan membisikkan (nasihat) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:

“Tidaklah Tuhan kamu berdua melarang kamu berdua daripada (menghampiri) pohon ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).”

Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:19-21]

Dalam peristiwa di atas, syaitan memberi nasihat kepada Adam dan Hawa: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” Nasihat ini pada zahirnya kelihatan baik, tetapi ia sebenarnya bersikap batu api dan provokatif.
Dengan nasihat ini syaitan ingin menimbulkan keraguan, buruk sangka dan permusuhan kepada Adam dan Hawa terhadap Allah. Setelah memberi nasihat itu, syaitan bersumpah bahawa ia bukan dari kalangan yang menghasut Adam dan Hawa dengan kemungkaran, tetapi: “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”

Dalam rangka melaksanakan tipu daya memberi nasihat, syaitan kadangkala membisikkan nasihatnya secara terus kepada orang yang ingin diganggunya. Pada ketika yang lain ia membisikkan nasihatnya kepada orang yang diyakini oleh orang yang ingin diganggunya. Diingatkan semula bahawa syaitan adakalanya menggunakan umat Islam sebagai agennya. Strategi ini pernah digunakan oleh syaitan terhadap para Nabi, maka bukanlah merupakan satu keanehan jika ia menggunakannya terhadap kita juga:

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.
[al-An’aam 6:112]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *