Semua Umat Islam Mengimpikan Keuntungan Di Akhirat Yang Kekal

Tiada sesiapa pun di dunia ini yang mahu menanggung kerugian dalam apa jua urusan hidupnya. Bagi seorang Muslim, matlamat hidupnya bukan sahaja menyasarkan keuntungan didunia, malah juga tidak mahu rugi bagi kehidupan selepas didunia ini, iaitu akhirat. Pernah Saidina Ali bin Abu Talib RA ketika menjadi Gabenor di Kufah dan Basrah, beliau ditanya seorang Yahudi yang baru memeluk Islam. “Wahai Ali, kulihat engkau seorang yang sering berbuat baik, sering beribadah, berpuasa, memaafkan orang, menjaga hubungan kekeluargaan dan tidak pernah berdendam, dan menurutmu semuanya itu akan beroleh balasan pahala. Bagaimanakah jika, semua tanggapan tentang pahala dan akhirat itu hanyalah khayalan semata-mata?Apa pendapatmu? ..Kemudian Saidina Ali tersenyum dan membalas soalan lelaki itu dengan jawapan, aku berbuat sepertimana yang engkau katakan. Seandainyalah akhirat dan ganjaran pahala itu hanyalah khayalan sekalipun, aku masih tidak rugi apa-apa diatas perbuatan baikku di dunia. Ia kerana setiap kebaikan yang aku kerjakan itu juga tetap memberi kebaikan kembali kepadaku di dunia ini. Kebaikan ku sering dibalas kebaikan dan kasih sayang oleh orang lain. Tetapi mereka yang tidak mempercayai akhirat dan membuat keburukan akan menerima keburukan dan kebencian juga oleh orang lain di dunia, dan kemudian akhirat yang pasti itu, juga akan dibalas dengan kejahatan.”

Sebagai hamba Allah yang meyakini kepada kehidupan di dunia dan akhirat yang abadi, maka perbanyakkanlah berbuat baik kerana kebaikan itu akan dikembalikan kepada diri sendiri dan semua kebaikan yang kita lakukan dengan ikhlas tidak akan merugikan pelakunya, malah Allah memerintahkan kita untuk berbuat kebaikan tentunya tidak akan rugi di dunia malah di akhirat dengan ganjaran yang istimewa. Ia sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Zalzalah, Ayat 7 dan 8 yang bermaksud “ Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Meniti kehidupan sebagai makhluk, setiap yang hidup pasti merasai mati. Sebagai manusia, Satu hari pasti kita akan mati dan ketika itu, ada tiga perkara yang akan mengiringi kita ke kuburan; Pertama, adalah Harta benda, keduanya Ahli keluarga dan yang ketiga adalah Amalan-amalannya didunia. Namun apabila selesai pengebumian, akan pulanglah dua perkara iaitu harta benda dan ahli keluarga dan yang tinggal bersama hanyalah amalan-amalannya sahaja. Seterusnya alam selepas kematian itu tidak terhenti begitu sahaja. Bahkan ada lima fasa Kehidupan yang berlangsung dan perlu ditempuhi simati. Ustaz Muhamad bin Abdullah Amin menghuraikan menerusi rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm yang bersiaran setiap Isnin jam 10.15 pagi tentang lima fasa yang ditempuhi setiap yang bernama manusia selepas kematian.

Fasa pertama adalah ‘Alam Barzakh’ (alam kubur). Fasa ini juga disebut sebagai salah satu di antara dua lubang-lubang. Iaitu lubang syurga atau lubang neraka. Memahami secara jelas tentang kehidupan ketika alam barzakh ini, ustaz menyampaikan kisah seorang alim yang telah terambil tanpa izin secebis batang kayu untuk dijadikan pencungkil gigi dari dinding rumah seorang balu yang kematian suami ketika majlis kenduri tahlil disitu. Lelaki tua alim yang kuat beribadah itu ketika matinya telah melalui gangguan siksa bertubi-tubi seekor ular akibat kesalahan itu. Lelaki alim itu hanya tenteram setelah kesalahannya dimaafkan dan dihalalkan oleh balu tersebut. Pengajarannya dalam kehidupan ini adakah kita pernah merenung kembali apakah kita telah melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan kita kepada Allah SWT? Adakah telah kita melangsaikan hak keatas mereka yang berada dibawah tanggungan kita? Adakah mereka redha dengan kegagalan atau kesilapan yang kita lakukan. Bagaimana pula dengan orang lain yang tiada pertalina dengan kita, mungkinkah ada yang kita terlepas pandang dalam melangsaikan urusan yang melibatkan hak seseorang? Dalam konteks rumahtangga Ustaz Muhamad mengingatkan para suami agar tidak memandang ringan berkenaan tanggungjawab memberi nafkah keatas keluarga. Jauhi diri dari mengambil hak isteri kerana bimbang ianya menjadi penyebab kepada seksa kubur. Begitu jugalah dengan amalan-amalan kita terhadap orang lain.

Fasa yang kedua adalah ‘Padang Mahsyar’. Ketika kiamat terjadi, dunia ini dimusnahkan pada satu masa dan setiap makhluk itu semuanya akan dimatikan, dan yang tinggal kekal hanyalah Allah SWT. Kemudian manusia akan dihidupkan semula di padang mahsyar umpama kalkatu berterbangan iaitu bertebaran tidak tentu arah tujuan dan kebingungan. Namun begitu atas rahmat Allah SWT, Dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Ada tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan shalat berjamaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seseorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahasiakannya sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang berdzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu meneteskan air mata dari kedua matanya.” (HR Bukhari) Disebutkan Pemimpin yg adil, ini termasuklah suami/bapa yg adil, Orang yang suka memberi sedekah (ini juga termasuk suami memberi kepada isteri selain nafkah dan juga isteri kepada suami.)

Seterusnya Fasa ketiga iaitu ‘Timbangan Amalan’. Mengharungi tempoh yang amat menakutkan ini, kita digalakkan untuk melakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan kebaikan bagi memberatkan amalan pahala kita. Ustaz Muhamad mengingatkan agar setiap Muslim melazimkan solat berjemaah (kerana ia memberi ganjaran pahala 27 kali ganda. Suami jangan hanya menjaga amalannya secara individu kerana biarlah kita berusaha untuk meraih nikmat syurga bersama-sama). Kejutkanlah isteri dan anak-anak untuk bersama bersolat jemaah atau mengeluarkan sedikit belanja bagi menaja jamuan berbuka puasa kerana sedekah memberi makan orang yang berpuasa beroleh pahala seperti orang yang berpuasa tersebut.

Surah Al-Inshiqaq, Ayat 7 dan 8… “Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan”. Mohon kepada Allah supaya diberikan kitab amalan dengan tangan kanan yang juga boleh didoakan ketika mengambil wuduk.

Fasa yang keempat ialah ‘Titian Sirat’. Dalam surah Maryam iaitu pada ayat 68 hingga 72, ALLAH menggambarkan keadaan umat manusia pada hari pembalasan kelak. Pada saat itu, semua manusia, sama ada Muslim atau kufur akan dihimpunkan di padang Mahsyar dan kemudiannya akan melalui sebuah titian disebutkan sebagai ‘sirat al-mustaqim’ yang merentangi neraka Jahanam. Ianya berada di antara padang mahsyar menuju ke syurga dan di tengah-tengahnya adalah neraka.

Keadaan manusia pada ketika itu amat membimbangkan. Suasananya dalam kegelapan, manusia yang ramai berada dalam keadaan bersesak-sesak dan semua orang berasa takut termasuklah para nabi sendiri dan berharap dapat melintasi sirat dengan selamat.Ketika itu, semuanya bergantung kepada iman dan amal soleh semasa di dunia. Itulah yang mampu menyelamatkan diri daripada ujian sirat tersebut. Jika pelaku dosa, maka sirat menjadi bencana bagi mereka kerana pasti terjatuh ditarik ke dalam neraka. Cara melintas titian sirat adalah mengikut amalan masing-masing. Ada yang berlelau dengan laju, ada yang merangkak, berlari, berjalan dan sebagainya.

Bagi usaha memudahkan perjalanan melalui sirat ini, ketika didunia bermujahadahlah dengan amalan-amalan yang sukar antaranya solat subuh berjemaah, melazimi bangun tahajjud, dan melaksanakan puasa-puasa dan amalan sunat selepas mengerjakan yang wajib. Berusahalah untuk melawan rasa malas untuk beribadah dan insyaAllah semoga dirahmati Allah dengan memudahkan melintas titian sirat. Jauhi dari berputus asa dengan rahmat Allah dan beruntunglah bagi sesiapa yang berusaha untuk memperbaiki diri. Sesungguhnya Allah melihat di mana penghujung kehidupan kita dengan usaha amalan ketika hidup didunia.

Akhirnya Fasa yang terakhir adalah ‘Syurga atau Neraka’. Tentu tiada yang hidup mahu dihumbankan kedalam neraka yang menyala-nyala. Maka tiada jalan lain kecuali memelihara diri dari perbuatan yang akan mengakibatkan diri terjerumus kearah neraka. Justeru dalam meningkatkan akaun pahala kebaikan, kita perlu memastikan diri sentiasa mengamalkan amalan-amalan yang khusus dijanjikan pelaku amalan itu akan dikurniakan ganjaran syurga. Contohnya amalan seperti membina tempat sujud bagi solat. Walaubagaimanapun Ini tidak semestinya masjid, tetapi sekadar cukup dahulu dengan skala kecil mengikut kemampuan untuk mengadakan ruang dalam rumah untuk solat berjemaah, dan ini juga dikira sebagai membina masjid. Jadikan rumah sebagai permulaan dan menjadikan syurga dirumah kita dahulu. Dan carilah dalam hadis dan Al Quran tentang amalan-amalan yang boleh memberikan kita peluang ke syurga. InshaAllah itulah dia lima fasa yang akan dilalui seseorang selepas kematian yang mana semuanya itu bergantung kepada bagaimana amalan dan perbuatan kita didunia ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *