Rupanya Inilah Sebab Mengapa Islam Mengharamkan Kaum Lelaki Memakai Emas dan Sutera

Emas dan kain sutera tidak asing bagi wanita jika mereka memakainya, apatah lagi jika si pemakainya akan tampil lebih anggun dan bergaya. Walau bagaimanapun, Islam sangat menegah umatnya terutama kaum lelaki daripada memakai emas dan sutera. Mengapa ianya diharamkan? Apakah yang akan berlaku sekiranya golongan lelaki tetap memakai emas dan sutera sebagai perhiasan mereka?

Dalam Islam, kaum lelaki diharamkan memakai apa sahaja barangan yang berunsurkan emas termasuk gigi emas. Emas di sini bermaksud dalam sebarang sama ada emas putih, emas suasa atau apa sahaja logam pelbagai warna yang mengandungi unsur emas hukumnya adalah haram.

Sungguhpun begitu, benda yang dicat dengan warna emas tidak boleh dikatakan sebagai emas. Ulama sependapat bahawa hukumnya tidak haram kerana ia bukannya dari unsur emas. Hanya rupa dan warnanya sahaja yang kelihatan sama dan bukan kemiripannya.

Hakikatnya, hikmah di sebalik larangan itu, umat Islam sebenarnya diajar supaya sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul, di samping mengajar kita supaya hidup secara sederhana dan tidak bermegah-megah dalam berhias.

Terdapat beberapa potongan hadith yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka janganlah memakai sutera dan emas.”

Emas dan sutera, kedua-duanya diharuskan bagi seorang wanita memakainya, tetapi diharamkan bagi golongan lelaki. Ini berlandaskan sabda Rasulullah s.a.w yg bermaksud :

Emas dan sutera dihalalkan bagi golongan wanita dari umatku dan diharamkan bagi golongan lelaki.
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa’i dari Abu Musa, Sahih Al-Jami'(209) .

Rasulullah s.a.w telah melarang kami akan tujuh perkara; beliau melarang (memakai) cincin atau gelang emas, sutera tebal, dibaj (kain sutera), baju bersulam sutera, penutup lampu yang diperbuat dari sutera dan bekas dari emas.” (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dari Bara’ (5863))

Manakala Umar mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu semua memakai sutera kerana sesiapa yang memakainya di dunia, maka dia tidak akan memakainya di Akhirat.” Hadith Bukhari(10/5832) dan Muslim(3/21)

Berdasarkan beberapa potongan hadith berikut dapat disimpulkan bahawa;

  1. Emas dan Sutera adalah perhiasan yang dipakaikan kepada penghuni syurga di hari akhirat kelak. Oleh itu Islam telah mengharamkannya kepada lelaki daripada memakainya ketika di dunia. Lain pula halnya bagi wanita di mana mereka diharuskan (halal) berbuat demikian.
    2. Pemakaian cincin perak halal bagi kaum lelaki, bahkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah memakai cincin perak.
    3. Tetapi dalam pemakaian kain sutera terdapat keringinan (rukhsah), iaitu apabila ada suatu keperluan yang berhubung dengan masalah kesihatan, sebagaimana Rasulullah pernah mengizinkan Abdur-Rahman bin ‘Auf dan az-Zubair bin Awwam untuk memakai sutera kerana masalah sulit di badannya.
    4. Antara hikmah Islam melarang penggunaan emas dan sutera tersebut adalah untuk menghindari dua hal yang merugikan iaitu pemborosan dan sikap bermewah-mewahan. Tambahan pula adalah amat tidak manis (tidak sesuai) bagi lelaki berhias sebagaimana wanita berhias apalagi Islam melarang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.Perhiasan emas hanya diberikan kelonggaran kepada wanita untuk memakainya sebagai alat mencantikkan diri dan menarik perhatian suami, manakala lelaki pula tidak ada keperluan untuk menambah hiasan pada diri mereka kerana perhiasan sebegitu tidak sesuai dengan sifat dan kejantanan seorang lelaki.

Apa Kesan Pemakaian Emas Dari Sudut Islam Dan Sains?

Dari sudut sains menjelaskan bahawa struktur dan tekstur kulit lelaki sangat berbeza dengan kulit wanita. Melalui satu perkongsian sumber yang dimuat naik di sebuah blog, perhiasan emas yang dipakai kebanyakannya bukanlah seratus peratus emas tulen. Emas tulen adalah 24 karat tetapi kebanyakan barang kemas adalah dalam bentuk 18 dan 22 karat. Ini bermakna, jika emas itu 18 karat atau 22 karat, 75 peratus kandungannya ialah emas tulen, manakala 25 peratus lagi terdiri daripada logam lain yang mungkin boleh jadi dibentuk daripada perak, tembaga, zink atau paladium.

Tujuan utama pencampuran logam lain adalah untuk menguatkan produk tersebut dan emas campuran yang tahan lasak ini dipanggil aloi emas. Kesan penggunaan emas terhadap kulit sebenarnya sudah dikaji oleh seorang pakar perunding dari International Gold Corporation di Johannesburg, Afrika Selatan bernama william S. Rapson.

Daripada penyelidikannya mendapati bahawa kulit manusia boleh menghasilkan asid amino dan natrium klorida. Apabila kita berpeluh, kedua-dua bahan kimia tersebut akan bertindak balas dengan aloi emas yang dipakai. Kesan reaksi kimia dan geseran kulit, aloi emas dikesan boleh menyerap masuk ke dalam kulit manusia.

Partikel-partikel aloi emas yang kurang daripada 40 nanometer memang terbukti boleh memasuki liang-liang roma kulit. Kajian dermatologi turut menunjukkan penyerapan partikel emas boleh dipercepatkan oleh keadaan pH (ukuran keasidan) kulit yang tinggi alkalinya. Dan terbukti, pH kulit lelaki adalah beralkali lebih tinggi daripada perempuan.

Perintah Allah yang diturunkan melalui Rasul sejak 1,400 tahun dahulu mula tersingkap hikmah dan kebenarannya terutama dari sudut perubatan. Ahli sains menyimpulkan bahawa partikel emas mampu menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah manusia yang mampu memberi kesan buruk kepada ketahanan badan seterusnya menjejaskan kesihatan kepada pemakai. Oleh kerana itu, lelaki lebih cenderung memiliki kulit dan bulu roma yang tebal serta kasar berbanding wanita. Sebab itulah kenapa sains mendapati lelaki mampu menyerap partikel emas lebih tinggi berbanding wanita.

Apabila partikel emas sudah masuk ke dalam epidermis dan sistem peredaran darah, ia boleh menyebabkan clumping protein atau protein terkumpul. Keadaan itu menjadikannya tidak berfungsi lalu memberikan impak kepada sistem kardiovaskular lelaki. Malah, penemuan baru oleh pasukan penyelidik di University of California, San Francisco (UCSF), begitu mengejutkan apabila mendapati pengumpulan protein ini boleh mempercepatkan proses penuaan.

Pengarah Larry L. Hillblom Center, Biology of Aging di USCF, Profesor Cynthia Kenyon, berkata kecenderungan protein melekat bersama-sama akan mengakibatkan saluran darah tersumbat dan tidak berfungsi, seterusnya menjadi toksik. Apa yang mengejutkan, rupanya kehadiran protein tidak larut ini banyak dikesan di dalam otak pesakit-pesakit yang menghidap penyakit neurodegenerative, termasuklah Alzheimer, Parkinson dan Amyotrophic sklerosis lateral (ALS).

Lihatlah betapa bahayanya kesan pemakaian emas terhadap kesihatan kita. Penjelasan hikmah dari sudut Islam dan Sains telah menjelaskan kepada kita bahawa mengapa Islam sangat melarang kaum lelaki memakai perhiasan emas dan juga sutera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *