Pengajaran Dari Kisah Seorang Wanita Bernama Maryam

SEJAK dijadikan Saidatina Hawa daripada rusuk Nabi Adam a.s. wanita merupakan cerminan dan pelengkap jiwa bagi seorang lelaki. Tidak kira sama ada isteri baginda Nabi Muhammad SAW sendiri seperti Saidatina Khadijah, Aisyah dan lain-lain, juga para sahabat yang berjuang untuk menegakkan agama Allah, srikandi juga berperanan dan bertanggungjawab meneruskan legasi dakwah. Pada minggu ini, kita menyingkap kisah Saidatina Maryam yang dikandungkan oleh Hannah. Hannah ibu Maryam telah bernazar untuk mendapatkan seorang zuriat, serta anak itu nanti akan diwakafkan untuk berkhidmat di Masjidil Aqsa. Perbincangan dalam rancangan Ibrah di IKIMfm jam 5.15 petang Isnin oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman tersebut memperincikan kisah Saidatina Maryam ini yang merupakan seorang wanita yang istimewa. Maryam diberi kemuliaan oleh Allah ke atas wanita-wanita lain.

Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” (Surah Ali Imran ayat 42) Allah Taala sendiri menyebut tentang kehebatan Maryam. Namun apakah kayu ukur untuk meletakkan Maryam adalah wanita terbaik? Allah menyatakan lagi, “Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah Ali Imran ayat 43) Allah telah memerintahkan Maryam untuk mentaati Allah dengan rukuk dan sujud. Kehebatan Maryam ini diukur kerana beliau banyaknya beribadah dan sentiasa beruzlah di timur Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa). Selain daripada itu, Maryam tidak meninggalkan ibadahnya dengan terus berzikir kepada Allah Taala walaupun di dalam keadaan tidak suci (kedatangan haid).

Memahami hal ini, wanita yang dimuliakan ini menjadi contoh kepada wanita yang lain agar tidak menggunakan alasan untuk tidak membasahkan lidah dengan zikir walaupun di dalam keadaan uzur. Walaupun Maryam kuat beribadah dan menyempurnakan hak-hak Allah, tetapi Allah sentiasa menguji hambanya itu. Kisah ini dirakamkan melalui Surah Maryam yang membicarakan tatkala didatangi dengan kehadiran seorang malaikat yang berupa bentuk manusia seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.” (Surah Maryam ayat 16)

Nabi Zakaria a.s. amat pelik kepada Maryam kerana beliau sangat rajin beruzlah dan beribadah. Kebimbangan Nabi Zakaria ini dizahirkan oleh baginda kerana tertanya-tanya tentang keadaan makan dan minum Maryam. Walaupun demikian, hal ini telah dijawab oleh Allah kerana rezeki tersebut telah dihantar oleh yang Maha Esa. Kasih sayang Allah kepada Maryam tidak terhenti di situ. Allah menguji lagi Maryam yang suci itu dengan adanya zuriat dalam rahim tanpa disentuh lelaki dan tanpa perkahwinan. Kehadiran malaikat Jibril yang datang dalam rupa bentuk manusia tidak menggentarkan jiwa Maryam. Maryam berkata, “Kalau kamu beriman kepada Allah, kamu pergi dari sini.” Ini dijelaskan melalui Surah Maryam ayat 17-18 yang bermaksud, “Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa.” Lalu malaikat pun berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.”

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?” (Surah Maryam ayat 20) Malaikat itu pun menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (Surah Maryam ayat 21) Maka Maryam pun mengandung dan hamil, serta telah memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

Sesetengah ulama menyatakan usia kandungan Maryam itu selama 9 jam sahaja. Walau bagaimanapun, Sheikh Mutawalli Syaarawi menyatakan bahawa keadaan kehamilan Maryam itu adalah sunatullah, iaitu 9 bulan seperti keadaan wanita biasa. Ini memberi gambaran bahawa kasih sayang di antara anak dan ibu yang berada di dalam kandungan dalam tempoh lama itu memungkinkan hubungan kedua-duanya akrab. Prof Dr Hamka menyatakan bahawa Maryam telah melarikan diri ke Baitulahem (terletak di kawasan utara bumi Palestin). Allah Taala berfirman lagi, “(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (Surah Maryam ayat 23)

Maryam berdoa untuk dimatikan sebelum melahirkan anak yang dikandungnya itu kerana merasakan beliau akan fitnah selepas melahirkan Nabi Isa a.s. itu. Walau bagaimanapun Allah menjawab seperti di dalam firmannya, “Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.(Surah Maryam ayat 24) Dalam keadaan lemah dan kesakitan itu, Allah pun memerintahkan Maryam untuk menggegarkan pohon tamar supaya dapat menikmati bertenaga semula untuk meneruskan hidup. Begitulah Allah Taala mengajar Maryam untuk berusaha serta bertawakal walau apapun yang berlaku kerana itu merupakan sunatullah. Firman Allah Taala, “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam ayat 25) Kisah seorang wanita yang bernama Maryam ini menjadi sejarah dalam menguji seorang wanita. Sebagai seorang hamba, percayalah bahawa setiap ujian yang dilalui itu mempunyai hikmah dan pengajaran yang amat bernilai untuk mencerminkan hidup sebagai seorang ‘abid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *