Mandul Boleh Terjadi Kepada Lelaki Dan Wanita Dan Merupakan Salah Satu Punca Sukar Dapat Zuriat. Kenali Punca Dan Cara Rawatannya.

Selama ini kita sering beranggapan bahawa tanda kemandulan ialah apabila seseorang atau pasangan itu mempunyai masalah kesuburan dan hubungan intim sehingga tidak mampu untuk memiliki anak. Padahal ada beberapa kes, pasangan itu boleh mandul setelah memiliki anak pertama atau kedua. Bagaimana masalah ini boleh terjadi?

Mandul boleh terjadi ke atas lelaki mahupun wanita ataupun kedua-duanya sekali. Jadi, untuk mengetahui sama ada seseorang itu sedang menghadapi masalah kemandulan, pasangan yang telah berkahwin perlu menjalani pemeriksaan makmal secara menyeluruh dengan berjumpa dengan doktor pakar sakit puan.

Jom kenali tanda-tanda atau punca kemandulan dan beberapa langkah pencegahan dan rawatannya.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Zamri Abdul Rahim berkata, kira-kira 60 peratus daripada kes pasangan yang mengalami masalah ini membabitkan faktor lelaki.

“Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan masalah kesuburan berpunca daripada lelaki manakala 20 peratus lagi adalah gabungan faktor lelaki dan wanita.

“Kerana itulah apabila satu-satu pasangan itu mengalami masalah untuk mendapatkan anak, orang lelaki juga perlu menjalani pemeriksaan dan bukannya wanita sahaja,’’ katanya.

Menurutnya, kebanyakan lelaki yang mengalami masalah kemandulan tidak menunjukkan apa-apa tanda. Sesetengah daripada mereka yang mempunyai gangguan hormon mungkin mendapat isyarat dari segi perubahan suara, pertumbuhan rambut yang ketara, pembesaran buah dada mahupun menghadapi kesukaran fungsi seksual.

 

Punca Ketidaksuburan Lelaki

  1. Kesukaran ereksi dan ejakulasi

Kira-kira lima peratus pasangan tidak subur berhubung rapat dengan faktor hubungan kelamin seperti gagal memperoleh atau mengekalkan ketegangan zakar, pancutan air mani pramatang, dalam jumlah yang kurang dan ke arah belakang serta, kerap melancap. Kekerapan dalam melakukan hubungan seks memainkan peranan yang penting. Kajian mendapati, pasangan yang bersetubuh purata empat kali seminggu akan mengandung selepas enam bulan.

  1. Air mani yang tidak normal

Air mani yang terlalu tebal boleh menyukarkan sperma untuk bergerak ke trek reproduktif wanita.

  1. Varikosele

Kumpulan vena (pembuluh darah) yang mengembang dan bergumpal-gumpal (seperti vena varikos yang berbelit-belit pada kaki) di dalam skrotum (kantung zakar) disebabkan oleh darah yang tidak mengalir keluar dengan betul dari skrotum.

Akibatnya, lebihan darah bertakung di dalam skrotum. Ini memberikan kesan yang negatif terhadap pengeluaran sperma. Bagaimanapun, keadaan ini merupakan punca ketidaksuburan lelaki yang paling berpotensi untuk dirawat melalui pembedahan kecil pesakit luar.

Dipercayai, hawa panas yang bertindak terhadap buah zakar dan saluran mani menyebabkan pembentukan benih tertindas. Hawa panas boleh menindas pembentukan benih-benih khususnya bagi lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori atau mereka yang perlu memandu beratus-ratus kilometer dalam cuaca panas. Lelaki yang terdedah kepada radiasi misalnya seseorang yang mendapat rawatan kanser buah zakar juga boleh menjadi mandul ataupun menjejaskan kesuburannya.

  1. Kriptokidisme

Buah zakar yang gagal menurun ke dalam kantungnya, satu atau kedua buah zakar mungkin terletak di dalam perut. Keadaan ini sering dikaitkan dengan kemandulan tetapi lebih penting lagi adalah kaitannya dengan kanser buah zakar.

  1. Penyakit-penyakit semulajadi

Antara penyakit semulajadi adalah seperti Sindrom Klinefelters, di mana lelaki mempunyai buah zakar yang amat kecil dan tidak mampu mengeluarkan benih.

Terdapat juga penyakit yang menyekat saluran dan karung air mani atau pun saluran air kencing. Kerana itulah sesetengah lelaki dilahirkan dengan saluran air kencing yang terbuka pada sisi bawah zakar (hipospadias) atau atas (epispadias) sedangkan bukaan sepatutnya pada hujung zakar.

  1. Jangkitan

Jangkitan yang terjadi ke atas buah zakar dan saluran air mani seperti beguk, tibi, penyakit-penyakit alat kelamin seperti gonorea dan siflis yang menyekat perjalanan benih daripada buah zakar ke karung air mani

  1. Ubat-ubatan tertentu

Pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh menjejaskan penghasilan sperma serta fungsinya. Sesetengah ubat boleh menyebabkan disfungsi ejakulasi. Pengambilan ubat-ubatan seperti steroid merupakan hormon sintetis yang digunakan untuk membentuk tubuh. Sebenarnya ia boleh menyebabkan ketidaksuburan pada lelaki. Contoh lain antaranya ubat antikulat Ketoconazole, Sulfasalazine untuk merawat penyakit keradangan usus, Spironolactone (antihipertensi) dan Allopurinol, colchicine (gout).

  1. Perokok

Jika anda seorang perokok tegar, ketahuilah bahawa kandungan kadar nikotin di dalam tubuh akibat tabiat merokok ini boleh merosakkan sperma serta mengurangkan jumlah sperma.

  1. Kegemukan

Memiliki tubuh badan yang gemuk boleh menyebabkan perubahan hormon menjadi tidak normal. Makanan ringan yang tinggi kolesterol ini biasanya mempercepatkan pertambahan berat badan sehingga zat sebenar tidak dapat disalurkan.

  1. Kemalangan

Seseorang yang mengalami kemalangan atau terjatuh sehingga menyebabkan testis yang menghasilkan sperma gagal menghasilkan sperma seperti sebelumnya. Jika lambat dirawat, ia akan merebak ke spermatogenesis (sel yang menghasilkan sperma) dan menjejaskan fungsinya.

  1. Keturunan

Azoospermia disebabkan oleh faktor genetik iaitu keturunan di mana ia biasanya disebabkan oleh gen ibu dan bapa yang membawa masalah itu. Jika anda tergolong masalah ini, hanya kuasa Tuhan yang boleh membantu.

  1. Gaya hidup
  • Masalah di tempat kerja atau berdepan dengan masalah tekanan boleh menyebabkan anda stres. Tubuh badan yang stres tidak akan mampu menghasilkan sperma yang berkualiti.
  • Radiasi dari telefon bimbit tidak memberi kesan terhadap kesuburan. Bayangkan jika anda meletakkan telefon di dalam poket seluar, radiasinya boleh mempengaruhi testis. Jika perkara ini dilakukan berterusan, ia boleh mencetuskan disfungsi erektil dan ketidaksuburan pada lelaki.
  • Berhati-hati jika anda sedang leka menggunakan komputer riba. Suhu tinggi pada komputer riba boleh menyebabkan testis anda menjadi panas. Ia memberi kesan buruk dan merosak kualiti sperma.
  • Ubah tabiat gemar berendam air panas. Berendam di dalam air panas dapat meningkatkan suhu  testis sehingga merosakkan kualiti sperma dan menjadi punca mandul tanpa sedar.
  • Pemakaian seluar yang terlalu ketat boleh membuat suhu pada testis meningkat. Hanya kerana berseluar ketat, ia boleh mengakibatkan jumlah pengeluaran sperma menurun.

Rawatan Kemandulan

Rawatan mengkhusus boleh dilakukan dengan berjumpa dengan doktor pakar sakit puan dan berdasarkan hasil ujian, doktor akan menyarankan beberapa kaedah rawatan tertentu. Walau bagaimanapun, corak gaya hidup yang kurang memuaskan juga perlu diubah kepada yang lebih baik sebagai langkah pencegahan dan pemulihan. Antaranya adalah seperti;

  • Lelaki dengan analisis air mani yang lemah dan tidak boleh dirawat atau sebabnya tidak diketahui masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan anak melalui teknologi reproduktif yang dibantu oleh makmal. Antaranya, yang paling popular adalah persenyawaan in-vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) dengan menyuntik sperma tunggal secara langsung ke dalam telur.
  • Pakailah seluar dalam atau pita untuk mengikat stoking (suspender) yang longgar sahaja kerana penggunaannya yang amat ketat juga boleh menindas pembentukan benih-benih lelaki. Seluar dalam yang ketat menyebabkan buah zakar melekat pada badan, yang mana sukatan suhunya adalah lebih panas daripada buah zakar.
  • Selepas pulang dari bekerja, rendam buah zakar dalam air sejuk sekurang-kurangnya 10 minit. Amalan ini dipercayai boleh meningkatkan bilangan benih.
  • Lakukan hubungan kelamin pada waktu isteri tengah subur adalah penting umumnya pada hari ke-14 selepas hari pertama datang bulan.
  • Berhenti merokok. Merokok menyebabkan 23 peratus penurunan dalam pekatan sperma dan 13 peratus kemerosotan dari segi pergerakan sperma.
  • Elakkan penggunaan pelincir faraj kerana kebanyakannya boleh menyebabkan keracunan sperma, terutamanya pada waktu-waktu subur wanita.
  • Senaman seperti aerobik membantu meningkatkan tahap testosteron, seterusnya mendorong kepada penghasilan sperma yang meningkat.
  • Hindari suhu panas yang boleh menyumbang kepada pengeluaran sperma terjejas.
  • Makan makanan berzat yang mengandungi pelbagai jenis vitamin. Sesetengah pakar berpendapat bahawa vitamin E dan C boleh memperbaiki daya kesuburan seseorang lelaki walaupun belum terbukti kesahihannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *