Jangan Pandang Remeh Apabila Anda Mengalami Gejala Ini…Kepala Berdenyut, Pening & Mencucuk-Cucuk Rasanya.

Anda mungkin biasa menghadapi masalah seperti ini, bukan? Atau sekurang-kurangnya mendengar mereka yang berada di persekitaran anda mengadu masalah sama?

Usah pandang remeh masalah sakit kepala. Ini kerana terdapat lebih daripada satu jenis sakit kepala dan pada masa yang sama ia mungkin petanda penyakit yang lebih teruk daripada sekadar sakit kepala.

Kira-kira 99% daripada masyarakat mengalami sakit kepala yang kerap atau sesekali dalam kehidupan mereka. Jadi, untuk mendapatkan rawatan sewajarnya, ia adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang betul.

Mengetahui jenis sakit kepala anda adalah langkah pertama dalam menghilangkan rasa sakit. Tapi, tahukah anda, berapa jenis sakit kepala yang ada? Sakit kepala biasanya dikelaskan kepada dua jenis utama:

Sakit Kepala Prima (Awal)

Jenis-jenis sakit kepala yang paling biasa dihidapi adalah migrain dan sakit kepala ketegangan (stres). Ia biasanya datang dan pergi mengikut cara perawatannya tersendiri.

(a) Sakit Kepala Migrain

Lazimnya sakit kepala ini agak memeritkan. Kepala akan berasa berdenyut-denyut dan berlarutan dalam beberapa jam atau hari. Ia lebih kerap dialami oleh wanita dan di kalangan keluarga.

Gejala-gejala yang digambarkan bagi penghidap migrain ialah penglihatan yang kabur, lampu atau cahaya kelihatan berkelip-kelip diikuti sakit kepala berdenyut-denyut, biasanya di sebelah kepala.

Kebanyakan penghidap juga akan mengalami muntah-muntah, atau sesekali gangguan emosi (cepat marah) dan memerlukan rehat seperti berbaring untuk mengurangkan rasa sakit.

(b) Sakit Kepala Ketegangan

Dalam dunia moden ini, ramai yang menghidapi sakit kepala ketegangan. Ia juga kerap dikaitkan dengan pengaruh persekitaran dan gaya hidup. Keadaan ini walaupun tidak spesifik di mana-mana bahagian kepala, tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan pada diri penghidap.

Lazimnya gejala yang dialami berpanjangan (berlarutan), gangguan tidur di samping menyebabkan sakit-sakit pada bahagian leher serta kurang semangat.

Penghidap juga akan cepat marah dan tidak hanya perlu ubat tetapi juga rawatan kaunseling dan psikoterapi.

(c) Sakit Kepala Kluster (berkelompok)

Ia jarang berlaku tetapi lebih biasa di kalangan lelaki. Biasanya berlaku sesekali atau jika lebih kerap pun, setiap hari dan setiap hari selama 12 minggu sehingga tempoh kluster berakhir.

Kesakitan yang dialami biasanya di bahagian salah satu mata. Bahagian mata dan hidung yang sama sakit, boleh menjadi merah, bengkak dan berair.

Sakit kepala kluster ini juga boleh menyebabkan kegelisahan. Biasanya kesakitan dialami untuk beberapa minit atau jam, tetapi biasanya ia berlangsung selama 45 hingga 90 minit.

(d) Sakit Kepala Rebound (berbalik)

Ia juga dikenali sebagai sakit kepala ‘ubat berlebihan’ dan boleh muncul setiap hari. Ia boleh jadi disebabkan penggunaan ubat penahan sakit secara berulang.

Sakit kepala Rebound biasanya bermula seawal pagi. Kesakitan juga boleh berbeza-beza setiap hari. Mereka yang menghidapi masalah ini mungkin mengalami loya, kebimbangan, cepat marah, kemurungan atau tidak dapat tidur.

Pengambilan sebarang ubatan pelega kesakitan secara berterusan lebih daripada 10 hari dalam sebulan dan ini boleh meletakkan anda pada risiko untuk pulih daripada sakit hanya beberapa bulan.

Sakit Kepala Sekunder (Pertengahan)

Sakit kepala ini mungkin jarang berlaku tetapi ia adalah lebih serius dan boleh mengancam nyawa berbanding sakit kepala prima.

Ini kerana ia boleh dikaitkan dengan ciri-ciri klinikal seperti sawan atau kelemahan pada anggota badan (lumpuh), ketidakstabilan semasa berjalan kaki, demam, kekakuan leher dan sebagainya.

Sakit kepala seperti ini perlu dipandang serius kerana ia kerap dikaitkan dengan masalah keabnormalan saluran darah (aneurisme) atau tumor otak, jangkitan atau penyakit radang.

Sama seperti sakit kepala biasa yang perlu mendapat nasihat doktor, masalah sakit kepala sekunder juga jangan dipandang remeh.

Jangan cuba untuk merawat sakit kepala anda sendiri dengan mengambil ubat-ubatan yang tidak dipantau pakar/doktor.

Seorang doktor boleh membantu anda berhenti menggunakan ubat-ubatan yang mungkin tidak sesuai dengan masalah dihidapi atau cara alternatif yang boleh menyebabkan ia keluar daripada sistem tubuh badan anda.

Rawatan Yang Disyorkan

Ada beberapa cara rawatan yang biasanya disyorkan pakar kepada pesakit:

Rawatan profilaktik migrain sama ada topiramate atau propranolol. Jika kedua-dua rawatan ini tidak sesuai atau berkesan, pesakit boleh mencuba sesi akupuntur selama 10 sesi selama tempoh 5-8 minggu atau gabapentin.

Rawatan akut yang menawarkan kombinasi terapi dengan triptan lisan dan NSAID atau satu triptan lisan dan parasetamol. Bagi mereka yang berusia 12-17 tahun, disyorkan triptan hidung berbanding triptan lisan.

Bagi pesakit kluster, biasanya disyorkan menggunakan rawatan oksigen atau triptan subcutaneous atau triptan hidung.

Bagi pesakit Rebound, dinasihatkan berhenti mengambil ubat-ubatan secara berlebihan. Pertimbangkan rawatan profilaktik

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *