Awas Dengan Trend Terkini!!! Inilah Keburukan Braces Tiruan

Baru-baru ini viral seorang gadis berusia 20 tahun bernama Nur Farahanis Ezzaty Adli, seorang graduan kolej vokasional yang diperintah membayar denda sebanyak RM70,000 oleh mahkamah atas kesalahan menjalankan perniagaan pemasangan braces pergigian tanpa lesen.

Kes ini menjadi kecoh apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Team Dragon dilaporkan membantu mengumpul wang untuk membayar denda tersebut. Namun itu bukanlah fokus utama dalam artikel ini.

Keburukan Braces Palsu

Artikel asal adalah artikel bahasa Inggeris hasil perkongsian dari Doktor Gigi sendiri, diterjemah ke bahasa Melayu dengan sedikit pengolahan ayat agar mudah difahami tanpa mengubah mesej yang ingin disampaikan.

Ya Tuhan. Itulah perkataan yang keluar dari mulutku apabila seorang teman berbicara tentang isu ini kepadaku. “Apa pendapat kau tentang ni? katanya, sambil menunjukkan screen capture sebuah akaun Instagram yang menjual braces palsu.

Mereka yang bermegah tentang bagaimana mereka berjaya memperbetulkan gigi yang tidak sejajar kepada “pesakit”. Mereka turut claim yang braces mereka adalah sah. Sekiranya itu betul.

“Apa salahnya pakai braces palsu ni?” Mungkin ini persoalan anda. “Braces ni nampak comel dan selamat.” Comel, itu mungkin betul, tapi selamat? Fikir sekali lagi.

Kes Kematian Akibat Memakai Braces Palsu di Thailand

Buat masa ini sudah ada 2 kes kematian di Thailand yang melibatkan fesyen braces palsu ini, dan kedua-dua mangsa adalah remaja. Mangsa pertama adalah seorang gadis berusia 17 tahun yang meninggal akibat daripada kegagalan jantung disebabkan jangkitan tiroid, berpunca daripada braces palsu.

Menurut polis, mereka percaya mangsa kedua yang berusia 14 tahun membeli braces palsu daripada kedai di tepi jalan.

Mereka yang memakai braces ortodontik melalui preskripsi doktor/pakar gigi yang bertauliah selalunya menghitung hari untuk menanggalkan braces mereka. Bagi mereka yang tiada keperluan memakai braces, mereka hanya perlu ke laman sesawang untuk mencari penjual braces palsu ini.

Susah untuk faham mengapa trend ini menjadi popular namun media barat membuat spekulasi yang orang Asia percaya bahawa braces sebagai simbol kekayaan. Hal ini mungkin kerana kos satu set braces yang sah boleh mencecah ribuan ringgit.

Proses Rawatan Braces Oleh Pakar Gigi Bertauliah

Braces atau pendakap gigi adalah sejenis perkakas ortodontik melalui preskripsi oleh ortodontist (pakar gigi/ortodontik) kepada mereka yang mempunyai masalah gigi tidak sejajar, atau pada tahap yang lebih kecil, masalah rahang yang perlu diperbetulkan agar gigi dan rahang dapat berfungsi dengan sempurna dan harmoni.

Semasa konsultasi, pakar gigi akan memeriksa gigi, mengambil acuan gigi anda, dan melakukan x-ray bagi mendapatkan maklumat dan membuat kursus rawatan. Pelan rawatan, perkakas yang akan digunakan atau pilihan bukan rawatan akan dikaji dan dibincangkan dengan pesakit setelah semua maklumat yang diperlukan telah diambil.

Kenapa semua langkah-langkah ini diperlukan? Ini adalah kerana terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan rawatan. Memakai braces bukanlah sekadar memasang braket, wayar dan getah elastik berwarna-warni yang anda fikirkan comel.

Seperti rawatan medikal dan pergigian yang lain, anda mungkin akan merasai kesan sampingan yang tidak diinginkan semasa memakai braces. Oleh itu, pakar gigi mempunyai tanggungjawab yang berat dalam membuat keputusan, memikirkan sama ada kebaikan memakai braces melebihi risiko kepada setiap pesakitnya.

Perlunya Ilmu & Kepakaran Dalam Ortodontik

Seni dan sains di sebalik ortodontik adalah sangat halus dan rumit yang mana doktor gigi umum (GDPs) selalunya perlu menghadiri kursus tambahan tentang ortodontik. Tempoh kursus ini sekurang-kurangnya adalah selama setahun.

Nota: GDPs ialah general dental practitioners.

Atau, GDPs perlu mengambil dan menghabiskan ijazah sarjana dalam ortodontik untuk mempraktikkannya. Berkenaan kes braces palsu tanpa lesen oleh penjual merangkap pengamal ortondontik, sejauh manakah ilmu mereka tentang ortondontik, dan adakah mereka layak untuk mempraktikkannya dari segi undang-undang?

Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, bolehkan mereka ini dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka?

Bahayanya Braces Palsu, Berupaya Meracun Anda Tanpa Sedar

Lebih lagi, siapa tahu apa yang ada dalam braces palsu ini? Kalau terdapat bahan berbahaya di dalamnya bagaimana? Braces palsu yang dirampas oleh pihak berkuasa Thailand terbukti mengandungi plumbum (sejenis bahan kimia beracun).

Katakanlah anda memakai braces palsu ini sekurang-kurang selama beberapa bulan, plumbum yang terkandung di dalam komponen logam braces boleh larut di dalam mulut anda.

Tanpa anda sedar, anda akan menelan racun ini. Selepas beberapa bulan, anda akan merasa kejang perut, sembelit, sukar tidur, pening kepala, dan tingkah laku agresif serta kehilangan pelbagai kemahiran diri, semua ini antara tanda-tanda anda keracunan plumbum.

Penggunaan braces palsu boleh menyebabkan banyak masalah. Sekiranya wayar, braket atau power chain dipasang dengan tidak betul, ia akan menyebabkan tekanan berlebihan pada gigi.

Akibatnya, penyerapan tulang boleh berlaku, menyebabkan gigi longgar selamanya, dan paling buruknya, gigi tercabut. Tanya pada diri anda, adakah berbaloi untuk hilang gigi yang sebelumnya sihat demi ‘fesyen’ yang sementara?

Berbaloikah Memakai Braces Palsu Oleh “Pengamal” Tanpa Tauliah

Memandangkan braces adalah objek asing dalam persekitaran mulut, ianya hadir sebagai struktur tambahan bagi mengumpul plak gigi. Plak gigi adalah sebuah biofilm yang mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit mulut seperti penyakit gusi dan gigi reput.

Oleh itu, apabila braces dipasang oleh pakar gigi yang bertauliah, terdapat juga pakej rawatan bersama sesi kaunseling khas berkenaan penjagaan kebersihan mulut untuk pemakai braces. Ketika sesi susulan, kebersihan mulut dinilai semula, dan tanda-tanda awal demineralisasi dan penyakit gusi akan dikesan dan dirawat secara serentak.

Nota: Demineralisasi ialah proses melemahkan struktur gigi disebabkan asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam plak gigi.

Jika tidak, apakah gunanya mempunyai gigi yang sejajar dan sempurna sekiranya ianya tidak sihat dan tidak dapat berfungsi dengan baik? Gigi anda mungkin sejajar dan sama, tetapi ianya masih longgar.

Anda tidak boleh menggigit burger pun dengan gigi anda. Kemudian mungkin akan ada tompokan coklat kehitaman pada gigi, menjadi tanda gigi reput. Gusi akan menjadi merah, bengkak dan berdarah walaupun melalui sedikit sentuhan, dan nafas berbau kerana anda mempunyai penyakit gusi akibat daripada pengabaian penjagaan kerbersihan mulut dan gusi semasa memakai braces.

Sekali lagi, tanya diri anda, adakah ianya berbaloi?

Ambil Masa Berfikir Sejenak Risiko Yang Bakal Diambil

Saya juga ingin anda melakukan sesuatu sebelum anda mendapatkan braces yang akan dipakaikan oleh ‘pengamal palsu’. Tanya mereka sekiranya mereka akan menyediakan retainer (penahan) selepas rawatan selesai.

Sekiranya retainer bukan sebahagian daripada rawatan mereka, lari secepat dan sejauh mungkin dan jangan toleh ke belakang. Retainer merupakan salah satu faktor penting dalam memastikan kejayaan rawatan tersebut.

Selepas braces dibuka, serat yang memegang gigi anda di posisinya memerlukan sedikit masa untuk menyusun berfungsi sepenuhnya. Retainer memegang gigi di posisi sehingga serat dan gigitan anda stabil.

Kegagalan untuk memakai retainer boleh menyebabkan gigi kembali seperti sebelumnya, kadang-kadang kepada keadaan yang lebih teruk.

Kesimpulan

Sebelum saya mengakhiri artikel ini, saya ingin berkata bahawa saya inginkan yang terbaik untuk anda semua. Ini bukan pasal untuk menghukum ataupun menjatuhkan perniagaan sesiapapun.

Sebaliknya ia adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengamal pergigian dan penjawat awam untuk melakukan apa yang termampu untuk menyediakan informasi yang relevan, agar anda semua mendapat maklumat yang berharga sebelum membuat apapun rawatan pergigian. Jadi, pilihlah dengan bijak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *