Browse Month: October 2017

7 Tipu Daya Dan Perangkap Iblis Yang Perlu Anda Tahu

Artikel ini adalah sambungan dari artikel sebelumnya. Jika anda baru kali pertama sampai ke blog ini, saya mencadangkan supaya anda membaca terlebih dahulu artikel sebelum ini di sini.

Di dalam artikel sebelum ini, saya sudah kongsikan 3 perangkap iblis ke atas manusia dalam usahanya membawa manusia seramai mungkin untuk menjadi temannya di dalam neraka.

Dalam artikel kali ini, inshaaAllah saya akan habiskan hingga 7 perangkap tersebut. Mungkin ada yang bertanya, mengapa perlu tahu perangkap iblis ini. Jawapannya ialah, untuk mengalahkan musuh kita, kita perlulah tahu apa strateginya supaya kita tidak terperangkap dalam strategi musuh itu.

Jadi begitulah juga dengan iblis. Tujuan kita mengetahui perangkap-perangkap ini supaya kita tidak termasuk dalam perangkapnya. Ini kerana kita sudah jelas bahawa iblis adalah musuh kita selama-lamanya. Iblis tidak pernah berhenti walau sesaat untuk menyesatkan kita dari jalan Allah yang lurus.

Semoga artikel ini dapat mengingatkan kita, terutamanya diri saya, tentang perangkap iblis ini dan bahayanya kepada kita, inshaaAllah. Saya akan sambung artikel ini dengan perangkap iblis yang keempat.

Keempat: Dosa-Dosa Kecil

Sekiranya seseorang manusia itu dapat selamat dari melakukan dosa-dosa besar (seperti yang diterangkan dalam artikal yang lepas), iblis tidak akan berputus asa.

Perangkap seterusnya sedang mananti. Iaitu iblis akan berusaha sedaya upaya sehingga manusia itu melakukan dosa-dosa kecil. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan dosa-dosa kecil?

Sebelum memahami tentang dosa-dosa kecil, kita kena tahu dulu apa itu dosa-dosa besar. Seperti yang telah disebutkan oleh Ibnu Jarir di dalam tafsirnya iaitu Tafsir At-Tabari, dari Ibnu Abbas radiallahu anhuma, yang dimaksudkan dengan dosa besar itu ialah setiap dosa yang diancam dengan neraka, terkena laknat, dimurkai, atau dikenakan dengan siksa.

Jadi dosa besar adalah termasuk dalam maksiat dan keharaman. Jika dosa tersebut diberikan ancaman akhirat dan dikenakan hukuman had di dunia, itulah yang disebut sebagai dosa besar. Sedangkan jika tidak diberi siksa dan ancaman, maka termasuk di dalam dosa kecil.

Yang dimaksudkan dosa besar berdasarkan definisi Ibnu Abbas, dosa besar itu akan diberikan azab atau siksa termasuk di dunia, samada hukum qisas atau hudud. Contohnya seperti hukum potong tangan kepada pencuri, hukum rotan 100 kali kepada penzina samada lelaki atau perempuan, hukum rejam kepada mereka yang menuduh wanita baik berzina, semua ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Kerana ianya dikenakan hukuman had di dunia, atau dikenakan murka dan laknat Allah.

Maka, sekiranya sesuatu dosa itu tidak dikenakan dengan ancaman seperti di atas, maka ianya termasuk dalam dosa-dosa kecil.

Tetapi ada yang salah faham. Apabila dikatakan dengan dosa kecil, bukanlah bermaksud yang kita sewenang-wenangnya boleh melakukannya. Kerana dari dosa-dosa kecil itu boleh menjadi dosa besar. Bagaimana dosa kecil boleh bertukar menjadi dosa besar?

Jika adanya 4 ciri di bawah, dosa yang kecil itu boleh menjadi dosa besar.

  1. Dosa itu dilakukan secara terus menerus.
  2. Memandang remeh sesuatu dosa. Ingatlah jika kita memandang remeh sesuatu dosa, walaupun ianya dosa kecil, ianya akan menjadi besar disisi Allah. Dan begitulah sebaliknya.
  3. Mempamerkan sesuatu dosa.
  4. Dosa tersebut dicontohi dan dilakukan pula oleh orang lain.

Dan kalau kita tengok situasi masyarakat sekarang, dah terlalu banyak dosa-dosa kecil yang dilakukan secara terus menerus dan meremehkan dosa tersebut. Ingatlah bahawa ini juga termasuk di dalam perangkap-perangkap iblis.

Kelima: Disibukkan Dengan Perkara Yang Mubah (Dibolehkan)

Apakah maksud mubah? Mubah adalah status hukum terhadap semua aktiviti manusia di dalam Islam. Di dalam Islam, ada 5 status hukum yang kita tidak boleh lari darinya. Maksudnya semua amalan kita tidak akan lari dari 5 status hukum ini iaitu:

  1. Wajib
  2. Haram
  3. Sunat
  4. Makruh
  5. Mubah (harus)

Mubah ini ialah sesuatu amalan yang apabila dilakukan tidak diberikan pahala ataupun diancam dengan dosa. Contoh amalan yang mubah ialah makan, minum. bersukan, dan lain-lain.

Oleh kerana asalnya ianya tidak mendatangkan dosa, maka iblis akan menggunakan jalan ini bertujuan untuk melalaikan manusia. Cuba perhatikan, berapa ramai manusia yang telah dilekakan dengan perkara-perkara yang tidak memberikan faedah, bahkan ianya menjadikan kita lupa untuk melaksanakan amalan-amalan yang diwajibkan ke atas kita.

Sebagai contoh, berapa ramai yang meninggalkan solat kerana menonton bola di stadium? Berapa yang mendedahkan aurat atas alasan bersukan? Dan banyak lagi contoh-contoh yang boleh kita perhatikan berlaku dikalangan kita.

Keenam: Menyibukkan Diri Dengan Amalan Kurang Utama dan Meninggalkan Amalan Yang Utama.

Jika seseorang manusia itu dapat melepaskan dirinya dari perangkap yang kelima seperti di atas, maka iblis masih tetap tidak akan berputus asa. Akan dicubanya pula dengan perangkap yang keenam iaitu cuba untuk menyibukkan seseorang dengan amalan yang kurang utama berbanding amalan yang lebih utama.

Sebagai contoh, seseorang yang melakukan kebaikan kepada orang lain tetapi dalam masa yang sama mengabaikan atau tidak memperbaiki hubungannya dengan ahli keluarganya sendiri.

Contoh lain yang dapat kita lihat iaitu banyak sekarang ini jemaah-jemaah yang keluar dari daerahnya, bahkan negerinya atas tujuan untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Tetapi dalam masa yang sama, keluarganya sendiri masih terabai.

Bukanlah saya nak katakan berbuat baik kepada orang lain atau menyebarkan dakwah kepada masyarakat itu tidak baik, ianya baik, tetapi dahulukan yang lebih utama.

Apalah gunanya kita berbaik dengan jiran tetangga, tetapi dengan ahli keluarga sendiri, hubungannya tidak baik. Silaturrahim terputus. Apalah gunanya kita berdakwah kepada masyarakat luar, sedangkan orang yang dibawah tanggungjawab kita masih terabai amalannya, solatnya, auratnya, dan lain-lain.

Sebab secara kaedah ada disebutkan:

“Apabila bertembung diantara dua kemaslahatan, maka hendaklah dipilih kemaslahatan yang lebih utama”

Inilah licik dan halusnya tipudaya dan perangkap iblis ke atas manusia.

Ketujuh: Iblis Akan Melakukan Permusuhan Secara Terang-Terangan

Jika seluruh gangguan di atas tidak mampu menjadikan seseorang itu jauh dari Allah, maka iblis akan mengerahkan tenteranya baik dari kalangan manusia ataupun jin, mereka akan memusuhi, mengancam menakutkan dan sebagainya.

Inilah ujian yang sering di terima oleh para Nabi dan Rasul. Akan tetapi semua itu tidaklah akan membahayakan seseorang kecuali apa yang telah di tetapkan oleh Allah di dalam kitab-Nya. Allah berfirman:

Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, Kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (QS.4.An Nisaa:76)

Dengan apa kita melemahkan tipu daya syaitan?

1)  Iaitu dengan ilmu syar’i yang mana ilmu ini adalah dari yang menciptakan Syaitan itu sendiri,  kerana hanya dengan ilmulah akan dapat membezakan diantara yang haq atau batil, yang di bawa syitan dan bala tentaranya.

2)  Kita berlindung  kepada Allah.

3)  Kita sentiasa berusaha untuk berzikir kepada Allah.

4)  Kita memohon pertolongan kepada Allah.

5)  Menjauhi apa sahaja jalan-jalan yang dapat membuka jalan untuk syaitan hampir kepada kita.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat kita gunakan untuk menyelamatkan diri kita dari perangkap-perangkap iblis. Sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan mohonlah perlindungan dari-Nya.

 

Musuh Utama Manusia Ialah Iblis. Apakah Talbis Iblis & Bahayanya

Sesungguhnya musuh kita Iblis telah berjanji kepada Allah untuk menyesatkan seluruh manusia ini untuk dibawa bersamanya ke dalam neraka. Banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang merakamkan dialog diantara Iblis dan juga Allah s.w.t.

Antaranya:

1) Surah Al-A’raf ayat 16 hingga 17 yang bermaksud:

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17)”

2) Surah Sod ayat 82 hingga 85 yang bermaksud:

Iblis berkata: Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, (82) Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan. (83) Allah berfirman: Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan hanya perkara yang benar Aku firmankan (84) Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya. (85)”

Oleh kerana janji inilah, kita perlu sangat berhati-hati di dalam setiap tindakan kita. Kerana Iblis dan pengikutnya (dari golongan jin dan manusia) akan setiap mencari ruang dan peluang untuk menjauhkan kita dari jalan Allah yang lurus.

Apakah Maksud Talbis Iblis?

Maksud talbis ialah menampakkan kebatilan itu dalam bentuk kebenaran. Jadi, talbis iblis bermaksud tipu daya yang dilakukan oleh Iblis dan pengikutnya sehingga manusia melihat suatu kebatilan itu sebagai kebenaran dan begitulah sebaliknya.

Kita perlu sedar bahawa sesungguhnya Iblis itu mempunyai terlalu banyak cara dan strategi untuk menyesatkan manusia. Kerana itu adalah matlamat dan tujuan hidup Iblis, iaitu untuk menyesatkan seluruh manusia dari jalan Allah.

Oleh kerana itulah, tidak sedikit dari kalangan manusia itu yang termasuk dalam perangkap Iblis. Tidak kiralah kita dari golongan mana sekalipun, pasti iblis mempunyai strategi untuk menyesatkan mereka. Menurut Imam Ibnu Jauzi rahimahullah, di dalam kitabnya Talbis Iblis, antara bentuk tipudaya dan golongan-golongan yang tidak terlepas dengan talbis iblis ini ialah:

  1. tipudaya iblis dalam masalah iktiqad (keyakinan) dan agama.
  2. tipudaya iblis terhadap ulama.
  3. tipudaya iblis terhadap pemerintah dan pegawai kerajaan.
  4. tipudaya iblis terhadap ahli ibadah dengan segala jenis ibadahnya.
  5. tipudaya iblis terhadap ahli zuhud.
  6. tiupudaya iblis terhadap ahli sufi.
  7. tipudaya iblis terhadap orang yang mengaku mendapat karamah dan ilham.
  8. tipudaya iblis terhadap orang awam.
  9. tipu daya iblis terhadap mereka yang berangan-angan tinggi.

Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana iblis melakukan tipudayanya ke atas manusia? Di sini saya nak kongsikan 7 tahap tipudaya yang akan iblis lakukan ke atas manusia. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk memastikan semua manusia menjadi temannya di dalam neraka.

7 Tahap Tipudaya Iblis

Pertama: Kesyirikan dan kekufuran

Ini adalah strategi iblis yang pertama dan utama. Iblis dan dan para pengikutnya akan berusaha sedaya upaya untuk menjerumuskan manusia ke dalam kekufuran dan mensyirikkan Allah.

Ini kerana iblis mengetahui bahawa syirik adalah satu dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah. Dan sekiranya manusia itu mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, nescaya Allah tidak akan mengampunkannya. Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa ayat 48 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

Selain itu, amal-amal orang yang melakukan kesyirikan ini juga akan terhapus dan akhirnya dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sebab itulah, iblis akan berasa sangat puas sekiranya dapat menjadikan seseorang itu kufur dan mensyirikkan Allah. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Az-Zumar ayat 65 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.”

Inilah perangkap yang pertama sekali akan dilakukan oleh iblis ke atas manusia. Ini kerana jika iblis berjaya dengan strategi pertama ini, iblis sudah dapat tahu siapa temannya di dalam neraka nanti.

Kedua: Berbuat Bid’ah

Jika perangkap yang pertama tadi gagal, iblis akan mencuba pula strategi yang kedua ini. Strategi kedua ini juga tidak kurang bahayanya, iaitu perbuatan bid’ah. Mengapa iblis menggunakan strategi yang kedua ini? Ini kerana pelaku bid’ah merasakan apa yang mereka lakukan itu baik walaupun ianya perkara yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.

Sebab itulah ahli bid’ah lebih disukai oleh iblis dari ahli maksiat. Mengapa? Kerana ahi maksiat lebih mudah untuk bertaubat kerana maksiatnya. Sedangkan ahli bid’ah tidak kerana mereka merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul disisi agama.

Mari kita lihat hadis-hadis Nabi s.a.w berkaitan dengan amalan bid’ah.

Hadis 1

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Barangsiapa membuat satu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak” (HR. Bukhari no. 2697 dan Muslim no. 1718)

Hadis 2

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak” (HR. Muslim no. 1718)

Hadis 3

Rasulullah s.a.w setiap kali apabila memulakan khutbahnya, Baginda akan mengucapkan:

“Amma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan” (HR. Muslim no. 867)

Di dalam riwayat An-Nasa’i:

“Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tidak ada yang bisa menyesatkannya. Dan yang disesatkan oleh Allah tidak ada yang bisa memberi petunjuk padanya. Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan tempatnya di neraka” (HR. An Nasa’i no. 1578, dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahih wa Dha’if Sunan An Nasa’i)

Hadis 4

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, tetap mendengar dan ta’at kepada pemimpin walaupun yang memimpin kalian adalah seorang budak dari Habasyah. Karena barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalku nanti, dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib bagi kalian untuk berpegang pada sunnah-ku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mereka itu telah diberi petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Jauhilah dengan perkara (agama) yang diada-adakan karena setiap perkara (agama) yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan (HR. At Tirmidzi no. 2676. ia berkata: “hadits ini hasan shahih”)

Hadis 5

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Sungguh Allah menghalangi taubat dari setiap pelaku bid’ah sampai ia meninggalkan bid’ahnya”  (HR. Ath Thabrani dalam Al Ausath no.4334. Dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 54)

Masih banyak lagi hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang memperingatkan perihal bid’ah. Tetapi apa yang perlu kita tahu, strategi bid’ah ini adalah strategi yang sangat disukai oleh iblis. Jadi berhati-hatilah kita agar kita tidak termasuk dalam perangkap iblis ini dengan melakukan amalan bid’ah.

Ketiga: Dosa-Dosa Besar

Jika seseorang itu terselamat dari perangkap yang pertama dan kedua, iblis akan cuba menjerat manusia agar masuk ke dalam perangkap ketiga, iaitu melakukan dosa-dosa besar. Ini kerana, mereka yang selalu melakukan dosa besar, lambat-laun kepercayaannya kepada Allah dan hari akhirat akan pudar sehingga akan membawa kepada kekufuran dan inilah yang sangat diharapkan oleh iblis.

Selain itu, dosa-dosa kecil yang akan diampuni oleh Allah juga tidak terampun selagimana seseorang itu berterusan melakukan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah An-Nisa ayat 31:

“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)”

Diantara dosa-dosa besar ialah:

  • menderhaka kepada ibubapa.
  • berzina
  • mencuri
  • memakan riba.
  • berdusta
  • memakan harta anak yatim.
  • tidak mengeluarkan zakat.

Akibat dari melakukan dosa-dosa besar ini akan menimbulkan titik hitam di dalam hati seseorang itu dan menjauhkannya dari ketaantan, melainkan ia segera sedar dan bertaubat kepada Allah di atas dosa-dosanya.

InshaaAllah, saya akan sambung lagi artikel ini dalam tulisan akan datang. Semoga tulisan ini memberikan manfaat kepada anda.